Saturday, July 25, 2015

Latihan ms13: Persamaan Watak Utama Dua Novel

Huraikan persamaan perwatakan watak utama dalam dua novel yang anda pelajari. (7m)

JAWAPAN:

Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu Novel Melunas Rindu karya Hartini Hamzah dan Kabus di Perbukitan karya Kholid Hamzah terdapat beberapa persamaan perwatakan watak utama. Watak utama dalam novel Melunas Rindu ialah Fuad manakala watak utama dalam Novel Kabus di Perbukitan ialah Faridah. Watak utama bermaksud watak yang memainkan peranan penting dan merupakan sebahagian daripada peristiwa penting dalam sesebuah cerita.

Antara persamaan perwatakan watak utama adalah tabah menghadapi dugaan hidup. Dalam novel Melunas Rindu, Fuad tabah menghadapi kemarahan Mak Salmah dan cemuhan orang kampung. Pada masa yang sama, Fuad berusaha untuk memerbaik keadaan itu dengan mengambil hati Mak Salmah dan orang kampung. Manakala, Faridah pula tabah menghadapi pelbagai cabaran seperti perpisahan dengan orang tersayang. Contohnya, dia tabah menghadapi kematian adik kembar kesayangannya, Rahayu akibat barah paru-paru. Selepas itu, dia juga kehilangan ibu kesayangannya dan suaminya yang tercinta, Ghazali membuatkannya lebih tabah menjalani kehidupan seharian.

Persamaan perwatakan watak utama juga kelihatan bagi kedua-dua watak iaitu mempunyai sifat penyayang. Dalam novel Melunas Rindu, Fuad sangat menyayangi Mak Salmah dan Pak Ismail walaupun mereka hanyalah keluarga angkatnya. Fuad menganggap Mak Salmah dan Pak Ismail seperti keluarga kandungnya. Dia juga turut memberikan layanan yang baik kepada mereka. Faridah pula sangat sayang akan ibunya. Dia masih tinggal bersama-sama ibunya walaupun sudah berkahwin. Dia juga sentiasa berusaha memenuhi permintaan anak-anaknya, terutama yang melibatkan penyediaan makanan anak-anaknya, Anne dan Melina.

Persamaan perwatakan watak utama yang seterusnya ialah beriman. Fuad merupakan seorang yang beriman. Dia tidak pernah meninggalkan solat sunat dan sentiasa membaca al-Quran. Fuad juga sering ke surau yang berdekatan untuk melakukan solat secara berjemaah. Faridah juga seorang yang beriman kepada agama. Faridah segera mengerjakan solat sunat tahajjud selepas mengalami mimpi tentang Rahayu dan ibunya, Mak Salmah. Faridah yakin akan berasa tenang selepas menunaikan solat sunat tahajjud.

2 comments:

  1. assalamualaikum..saya ingin bertanyakan. bagaimana hendak menulis tentang petistiwa suspen dalam novel kabus di perbukitan dan novel melunas rindu? mohon beri tindak balas..terima kasih

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum..saya ingin bertanyakan. bagaimana hendak menulis tentang petistiwa suspen dalam novel kabus di perbukitan dan novel melunas rindu? mohon beri tindak balas..terima kasih

    ReplyDelete