Friday, July 24, 2015

Latihan ms11: Persoalan Tentang Maruah

Banyak peristiwa yang digambarkan dalam sesebuah cerita mencerminkan persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang. Berpandukan novel yang anda kaji, jelaskan dua peristiwa yang mencerminkan persoalan tentang maruah. (7m)

JAWAPAN:

Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu Novel Melunas Rindu karya Hartini Hamzah, banyak peristiwa yang mencerminkan persoalan tentang maruah. Persoalan tentang maruah bermaksud sesuatu perkara yang mempunyai hubungan dengan kehormatan diri, harga diri, keberanian serta kegagahan mempertahankan sesuatu.

Persoalan tentang Maruah Kerjaya Profesionalisme. Peristiwa yang mencerminkan persoalan tentang maruah kerjaya digambarkan melalui peristiwa Farhana bertengkar dengan Cikgu Zamani. Farhana sering menegur Cikgu Zamani yang kerap kali tidak masuk ke kelasnya untuk mengajar tetapi menghabiskan masa di kantin sekolah. Apabila Farhana sering menegur Cikgu Zamani, dia pula tidak dapat menerimanya dengan baik dan akhirnya berlakulah pertengkaran hingga menimbulkan suasana tidak selesa dalam bilik guru. Peristiwa ini mencerminkan persoalan maruah sebagai seorang guru atau penjawat awam. Guru hendaklah bertanggungjawab akan tugasnya dan menjadi teladan yang baik kepada anak murid.

Persoalan tentang Maruah Keluarga  digambarkan melalui peristiwa Fuad membawa Sofia pulang ke Kuala Lumpur untuk menemukan Sofia dengan orang tua kandungnya. Tujuan sebenar Fuad melakukan hal demikian adalah untuk memberitahu kebenaran kepada Sofia bahawa mereka berdua sebenarnya merupakan adik-beradik tiri namun hajatnya tidak kesampaian apabila Sofia telah meninggal dunia. Peristiwa ini mencerminkan persoalan maruah keluarga demi menjaga nama baik keluarga mereka. Oleh sebab itu, Fuad ingin memberitahu kebenaran kepada Sofia agar nama baik keluarga mereka tidak tercemar.

No comments:

Post a Comment